mutakhir

Mahkamah minta saksi kes Nora Anne diperincikan

Oleh Mohd Amin Jalil

MAHKAMAH Sesyen Seremban hari ini meminta pihak pengendali pengurusan kes remaja Ireland Nora Anne Quoirin memperincikan senarai saksi sebelum inkues didengar di hadapan koroner pada 4 Ogos nanti.

Timbalan Pendakwa Raya yang juga pegawai pengendali inkues, Muhamad Iskandar Ahmad berkata, pihaknya memiliki seramai 859 saksi membabitkan pelbagai latar belakang dan agensi.

Menurutnya, saksi berkenaan terdiri daripada penduduk kampung, kakitangan dan penghuni resort serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terbabit secara langsung dengan operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja berkenaan.

"Koroner meminta kami memperincikan peranan saksi ketika SAR dan kita akan dilakukannya serta siapkan senarai baharu itu nanti sebelum perbicaraan bersambung pada 4 Ogos depan.

"Saya tidak bercadang mengurangkan senarai saksi sebaliknya akan kekalkan jumlah kesemua saksi terbabit tapi dengan perincian seperti yang diminta koroner kerana kesemua senarai mereka (saksi) ini terbabit secara langsung dalam operasi mencari dan menyelamat Nora Anne," katanya.

Beliau ditemui media selepas pembicaraan kes saman sivil keluarga remaja itu di luar bilik Mahkamah Seksyen Seremban hari ini.

Perbicaraan hari ini dijalankan di hadapan Koroner Junaidah Mohd Isa manakala Datuk Sankara Nair yang mewakili keluarga mangsa turut hadir.

Sementara itu, Sankara Nair berkata, pihaknya berharap inkues berkenaan dapat dijalankan dalam bahasa Inggeris dan diadakan secara rakaman video.

"Ini adalah permintaan keluarga Nora Anne. Kami juga diberitahu mengenai tarikh baharu inkues pada 4 Ogos dan akan dikendalikan koroner yang baharu," katanya.

Sebelum ini dilaporkan keluarga remaja terbabit memohon inkues pada Disember tahun lalu bagi mengetahui kejadian sebenarnya menimpa Nora Anne.

Keluarga ingin tahu sama ada remaja berkenaan diculik atau keluar sendiri dari pusat penginapannya.

Nora Anne, 15, bersama keluarganya tiba di Malaysia untuk percutian selama dua minggu dan mendaftar masuk di resort The Dusun Pantai Hill, Pantai dekat Seremban pada 3 Ogos tahun lalu sehari sebelum remaja itu dilaporkan hilang pada awal pagi keesokannya.

Mayat remaja itu ditemui pada 13 Ogos iaitu 10 hari selepas kehilangannya oleh pasukan sukarelawan bersama pasukan keselamatan yang menyertai SAR dalam keadaan tidak berpakaian berhampiran anak sungai di kawasan berlurah kira-kira 2.5 km dari resort itu.

Laporan awal bedah siasat mendapati kematian Nora Anne yang mengalami masalah pembelajaran tidak mempunyai unsur jenayah dan remaja perempuan itu disahkan mati akibat kebocoran usus yang berpunca kerana tidak makan untuk tempoh lama dan tekanan yang berpanjangan.

Disiarkan pada: June 19, 2020 @ 12:23pm
d