mutakhir

Masjid Kelantan terima lebih ramai jemaah [METROTV]

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

SEJAK Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sejak tiga bulan lalu, buat pertama kalinya solat Jumaat di Kelantan dibenarkan dengan jumlah lebih ramai sehingga 1,000 jemaah, mulai hari ini.

Jumlah jemaah yang ditetapkan bergantung kepada keluasan masjid masing-masing iaitu 100 hingga 1,000 orang dengan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

Tinjauan dilakukan di Masjid Alor Pasir di Wakaf Bharu, mendapati seramai 350 jemaah dibenarkan menunaikan solat Jumaat hari ini, berbanding sebelum ini hanya 40 orang.

Kesemua jemaah perlu mengikut SOP dengan jarak satu meter, memeriksa suhu, memakai pelitup muka dan mengisi borang. Solat Jumaat dan bacaan khutbah selesai dalam masa 20 minit.

Terdahulu, sebelum azan, imam muda masjid berkenaan, Kamaruddin Ibrahim, terlebih dahulu memberi penerangan supaya jemaah mengikut arahan yang ditetapkan dengan tidak dibenarkan bersalam selain berkumpul selepas selesai solat.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, yang turut menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan berkata, beliau bersyukur melihat situasi hari ini apabila masjid mula penuh selepas tiga bulan tidak dapat menunaikan solat Jumaat dengan jumlah yang ramai.

"Alhamdulillah, hari ini suasana yang cukup gembira dan syukur melihat keadaan masjid yang dipenuhi jemaah selepas tiga bulan.

"Kita berharap, semua jemaah dapat mengikut SOP yang ditetapkan sebagaimana yang dilakukan hari ini tidak kira solat Jumaat atau solat fardu," katanya.

Sementara itu, Kamaruddin berkata, masjid berkenaan mampu memuatkan 350 jemaah selepas melakukan penjarakan sosial.

"Kalau ikutkan masjid ini mampu memuatkan 700 jemaah ketika hari biasa, namun disebabkan penjarakan sosial, kita hanya membenarkan 350 jemaah sahaja.

"Pada masa sama, kita menitikberatkan SOP yang ditetapkan dan pasukan keselamatan turut menjaga bagi membuat pemantauan ketika solat Jumaat.

"Syukur Alhamdulillah selepas sekian lama akhirnya masjid di negeri ini kembali meriah," katanya.

Disiarkan pada: June 19, 2020 @ 3:12pm
d