mutakhir

Aktiviti pemantauan Covid-19 terus diperkemaskan

Oleh Saipul Adli Mohamad dan Muhaamad Hafis Nawawi

NEGARA kini sudah memasuki fasa pemulihan susulan kes harian Covid-19 dalam lingkungan satu hingga dua angka terutama bagi kes penularan di dalam negara yang kerap mencapai satu angka.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bagaimanapun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tetap melaksanakan aktiviti survelan bagi meneruskan pemantauan Covid-19 di komuniti pada setiap masa.

Menurutnya, aktiviti ini membolehkan pengesanan awal kes Covid-19 di Malaysia dan tindakan membendung penularan dapat segera diambil.

"Aktiviti survelan dijalankan adalah termasuk survelan klinikal dan saringan kumpulan sasar.

"Survelan klinikal dilaksanakan melalui pengambilan sampel untuk saringan Covid-19 secara rawak daripada fasitili kesihatan KKM," katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga minggu epid ke-24 (iaitu sehingga 13 Jun), sebanyak 19,309 sampel pesakit Influenza (ILI) dan Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) diambil.

Beliau berkata, bagi kes ILI, 15 kes positif Covid-19 daripada 2,048 sampel manakala kes SARI, 76 kes positif Covid-19 daripada 17,261 sampel.

"Ingin dimaklumkan bahawa lokasi sentinel iaitu Klinik Kesihatan KKM ditambah lagi kepada 26 di seluruh negara," katanya.

Beliau berkata, ia antara tindakan bagi mempergiat sistem amaran awal penularan Covid-19 di Malaysia.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: June 19, 2020 @ 6:05pm
    d