mutakhir

Veteran ATM tidak berpencen digesa daftar JHEV

Oleh Nur Izzati Mohamad

VETERAN Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak berpencen digesa berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) bagi membolehkan pelbagai bantuan dapat disalurkan kepada mereka.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata sehingga kini terdapat 70,000 veteran tentera tidak berpencen sudah berdaftar dan memperoleh manfaat daripada kerajaan.

Katanya, pendaftaran itu perlu memandangkan kerajaan menitikberatkan soal penjagaan kebajikan bekas anggota tentera samaada berpencen atau tidak berpencen yang dahulunya berkhidmat untuk negara.

"Baru-baru ini, melalui bantuan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), kerajaan memberi sumbangan secara 'one-off' sebanyak RM500 kepada veteran tidak berpencen sama seperti veteran berpencen.

"Namun, masih ramai veteran tidak berpencen yang tidak menerima bantuan berkenaan memandangkan mereka tidak berdaftar dan menyukarkan bantuan berkenaan disalurkan," katanya ketika mengadakan lawatan kebajikan terhadap keluarga veteran tidak berpencen, pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Hassim Ahmar, 75, serta isterinya, Hasna Salleh, 72, di Teluk Air Tawar, Butterworth, hari ini.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, pelbagai manfaat boleh diperoleh veteran tentera tidak berpencen apabila berdaftar dengan JHEV.

"Ia bukan soal dapat bayaran secara one off atau bantuan kewangan sahaja tetapi juga bantuan memperkasakan ekonomi golongan tentera dan memperoleh pendapatan bulanan secara tetap selepas pencen

"Contohnya, melalui Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) yang memberi latihan antaranya dari segi perniagaan kepada anggota tentera bersara untuk meneruskan kehidupan," katanya.

Jelasnya, beliau mensasarkan jumlah pendaftaran veteran tidak berpencen dapat meningkat kepada 100,000 anggota dalam tempoh masa terdekat.

Disiarkan pada: June 19, 2020 @ 8:45pm
d