mutakhir

Anggota polis tumbuk siapa?

Oleh Abdul Rahemang Taiming

SEORANG anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, dirakam melepaskan tumbukan ke atas seorang individu di Jalan Dunlop, Tawau sebelum video kejadian itu tular di media sosial, hari ini.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan punca sebenar atau motif anggota berkenaan bertindak sedemikian.

Menerusi video berdurasi kira-kira tujuh saat itu, kelihatan sepasukan anggota URB memberhentikan motosikal di laluan berkenaan sebelum salah seorang daripada mereka turun dari motosikal dan melepaskan tumbukan.

Turut kedengaran suara dipercayai milik individu yang merakam insiden terbabit yang memaklumkan polis bertindak menggari suspek.

Namun identiti suspek terbabit tidak dapat dikenal pasti akibat terlindung di sebalik kenderaan yang berada di hadapannya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas, memaklumkan pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung kejadian itu.

"Setakat ini tiada laporan diterima," katanya ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp, malam ini.

Disiarkan pada: June 19, 2020 @ 10:45pm
d