mutakhir

Jiran nampak amah keluar bawa beg pakaian

Oleh Balqis Jazimah Zahari

WANITA warga Indonesia yang menjadi suspek membunuh majikannya di sebuah rumah di Pasir Puteh, Ipoh, dilihat keluar rumah membawa beg pakaian dipercayai mahu melarikan diri.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman berkata, jiran mangsa yang melihat kelibat pembantu rumah itu terus menghubungi anak mangsa selepas melihat keadaan sangat mencurigakan.

"Jiran berkenaan melihat suspek keluar dari rumah dengan membawa beg pakaian dan pintu rumah dalam keadaan terbuka.

"Melihat keadaan itu, jiran berkenaan terus menghubungi anak mangsa yang kemudiannya balik ke rumah dan menemui mangsa dalam keadaan sudah tidak bernyawa," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Anuar berkata, polis menerima panggilan pada 11 pagi melaporkan terdapat seorang wanita berusia 72 tahun mati dibunuh.

Katanya, anggota polis pergi ke lokasi kejadian dan menemui mangsa dalam keadaan terlentang di hadapan bilik air di bahagian dapur.

"Mangsa cedera dengan tiga kesan tetakan di bahagian kepala. Hasil siasatan mendapati ssspek sudah setahun bekerja dan tinggal bersama mangsa manakala suami mangsa berusia 86 tahun mengalami penyakit strok.

"Suami mangsa ditemui duduk di atas kerusi di ruang tamu dan tidak mampu bercakap bagi membantu siasatan.

"Hasil siasatan awal mendapati ssspek cuba melarikan diri dari rumah dan polis kini sedang memburunya yang dipercayai terbabit dalam pembunuhan itu.

"Hasil siasatan awal setakat ini kita mengenalpasti suspek yang terbabit dalam kejadian itu bekerja sebagai pembantu rumah dan menetap bersama mangsa dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta segera membantu pihak polis dengan menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah (KBSJD) Ipoh, Deputi Superintendan Mohd Hasni Mohd Nasir di talian 016-4888025 atau Pegawai Penyiasat, Asisten Komisioner Jalizulham Abdullah di talian 019-5716472.

Berita berkaitan

'Polis cari amah dipercayai bunuh majikan'

Disiarkan pada: June 19, 2020 @ 11:32pm
d