mutakhir

Nikmat berbudi kepada tanah

Oleh Syaherah Mustafa

MALAS berdayung, perahu hanyut. Berpegang kepada peribahasa itu, seorang wanita nekad berbudi kepada tanah dengan mengusahakan tanaman terung fertigasi selepas sukar mendapat pekerjaan dalam bidang dipelajarinya.

Nurul Natikah Mohd Sidek, 25, graduan Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak dari Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Kota Bharu, mula mengusahakan tanaman terbabit sejak September tahun lalu bersama adiknya, Md Nur Hakimi Asyraf, 23.

Menurutnya, sudah dua kali menghadiri temu duga dalam bidang kelulusannya, namun rezeki masih belum menyebelahinya menyebabkan dia mengambil keputusan menjadi petani daripada hanya 'duduk bersahaja' menunggu peluang kerja yang tidak pasti.

"Berbekalkan semangat untuk berjaya dengan cara sendiri, saya dan adik menanam terung bermula dengan 500 pokok dan kini ia bertambah kepada 1,000 pokok dan Alhamdulillah, kami mampu mengutip hasil hampir 2,000 kilogram (kg) sebulan.

"Hasil tanaman di atas tanah milik ayah, Mohd Sidek Mohd Noor, 67, mampu memberi pendapatan ribuan ringgit kepada kami, namun untuk capai ke tahap ini bukanlah mudah kerana ia memerlukan kerajinan, ketelitian serta kesabaran tinggi.

"Selain bantuan ibu dan ayah yang berpengalaman dalam bercucuk tanam, kami turut mempelajari teknik menanam terung fertigasi ini daripada abang, Mohd Radie Mohd sidek, 33," katanya ketika ditemui di kebun terung fertigasi miliknya, di Kampung Lubok Stol, Rantau Panjang.

Menurutnya, biasanya pemborong datang ke rumah untuk mengambil terung sudah dikumpul manakala selebihnya dihantar sendiri ke Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, Kota Bharu, untuk dijual.

Katanya, terung 'ditolak' kepada pemborong dengan harga RM3 sehingga RM5 sekilogram bergantung kepada harga semasa tanaman terbabit.

"Banyak cabaran kami lalui untuk memastikan terung dihasilkan dengan baik, seperti mengelak serangan serangga serta 'musuh' seperti kera dan babi yang sering kali terlepas masuk ke kebun ini.

"Selain itu, tanaman ini memerlukan penjagaan baik dan disiram air empat kali sehari.

"Proses penanaman terung fertigasi mengambil hampir dua bulan dan hasilnya boleh dikutip selama enam bulan dengan penjagaan rapi dan baik. Bagaimanapun, dalam setahun kami hanya dapat menanam sekali sahaja memandangkan tanah kebun ini ditenggelami banjir hampir setiap tahun," katanya.

Disiarkan pada: June 20, 2020 @ 10:50am
d