mutakhir

Bekalan elektrik tidak dipotong hingga September

Oleh Mahaizura Abd Malik

PENGGUNA elektrik antara 301 hingga 600 kWj akan menikmati diskaun tambahan lapan peratus bagi bil penggunaan elektrik bermula April hingga September.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, bantuan tambahan itu menjadikan jumlah diskaun dinikmati golongan pengguna ini daripada dua peratus kepada 10 peratus.

Beliau berkata, kajian dilakukan Suruhanjaya Tenaga (ST) mendapati sebahagian besar pengguna elektrik yang terkesan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ialah membabitkan pengguna dalam blok tarif 301 hingga 600 kWj dengan kadar tarif 51.6 sen/kWj.

"Kumpulan ini telah terkeluar daripada blok tarif berkenaan disebabkan oleh penggunaan elektrik yang lebih tinggi semasa PKP.

"Mereka memasuki blok tarif berikutnya dengan kadar 54.6 sen/KWj yang menyebabkan bil elektrik melonjak naik, sekali gus mengalami pengurangan diskaun daripada 15 peratus kepada dua peratus.

"Bagi membantu pengguna termasuk dalam kategori itu, kerajaan memperkenalkan diskaun tambahan kepada pengguna elektrik dalam blok tarif antara 601 hingga 900 kWj dengan bil antara RM232.35 hingga RM395.60," katanya pada sidang media khas di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata, jumlah pengguna yang akan menerima manfaat berkenaan membabitkan 916,000 pengguna atau 12 peratus daripada keseluruhan pengguna domestik.

Katanya, Tenaga Nasional Berhad (TNB) bersetuju menghentikan aktiviti pemotongan elektrik sehingga 30 September ini.

"Pengguna tidak perlu bimbang kerana bekalan elektrik tidak akan dipotong sekiranya mereka menghadapi kesukaran memenuhi komitmen kewangan mereka.

"Tatacara pengiraan TNB adalah teratur dan diluluskan ST. "Kerajaan berharap penjimatan melalui Bantuan Prihatin Elektrik Tambahan ini akan dapat membantu meringankan beban rakyat dari segi perbelanjaan isi rumah," katanya.

Disiarkan pada: June 20, 2020 @ 12:39pm
d