mutakhir

SPRM siasat anak syarikat universiti awam

Oleh Noorazura Abdul Rahman

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat beberapa ahli lembaga pengarah anak syarikat sebuah universiti awam di Kedah kerana disyaki terbabit dalam penyelewengan.

Difahamkan, mereka terbabit dalam pembelian aset di Lembah Klang pada 2017, namun aset bernilai lebih RM50 juta termasuk kos tambahan berkenaan didapati tidak lagi berfungsi.

Sumber berkata, pembelian aset berkenaan dikatakan dilakukan ahli lembaga pengarah terbabit tanpa merujuk dan mendapat kelulusan daripada Kementerian Kewangan.

Menurutnya, siasatan itu dilakukan SPRM sejak beberapa hari lalu dan pegawai agensi terbabit turut mengambil beberapa dokumen bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 16, Seksyen 17, Seksyen 18 dan Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM negeri, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap ketika dihubungi mengesahkan siasatan kes berkenaan.

Disiarkan pada: June 20, 2020 @ 2:31pm
d