mutakhir

281 lagi rakyat Malaysia pulang

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

SERAMAI 281 rakyat Malaysia pulang ke tanah air melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur

(KLIA) dari Singapura, Emiriah Arab Bersatu (UAE), China, Brunei, Pakistan, Vietnam dan Hong Kong semalam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 278 diperintah untuk menjalani proses kuarantin wajib di kediaman mereka manakala tiga lagi dibawa ke hospital.

"Daripada 10 sehingga 18 Jun lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah membuat saringan ke atas 6,719 individu di seluruh pintu masuk negara.

"Daripada jumlah ini, 6,696 individu didapati negatif Covid-19 dan sedang menjalani proses kuarantin wajib di kediaman masing-masing.

"22 individu lagi didapati positif dan dibawa ke hospital untuk rawatan. Seorang lagi masih menunggu keputusan saringan," katanya dalam kenyataannya di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut beliau, pada masa sama, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga membuat pemantauan harian ke atas 25 jenis bekalan barangan di 822 premis perniagaan termasuk peruncit (618), pemborong (174) dan pengilang (30).

"Selain itu, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MOA) juga sudah membuat pemantauan di peringkat pengeluar makanan dan memberi jaminan bekalan barangan keperluan mencukupi," katanya.

Disiarkan pada: June 20, 2020 @ 4:19pm
d