mutakhir

Ban pecah berulang di Kampung Ginching

Oleh Samadi Ahmad

EMPAT belas rumah di Kampung Ginching, Salak Tinggi dinaiki air susulan banjir kilat sejurus ban di kampung berkenaan pecah pagi tadi.

Penduduk memaklumkan, ban berkenaan pecah disebabkan hujan lebat sejak semalam sekali gus menyebabkan arus sungai deras.

Penduduk, Azlan Abd Rahman, 56, berkata, air sungai melimpah dan memasuki rumah penduduk sejak 11 pagi hingga mencecah 0.5 meter.

Azlan berkata, ban yang terletak kira-kira 300 meter dari Sungai Labu itu, beberapa kali pecah menyebabkan banjir kilat di kawasan itu.

"Ban pernah pecah beberapa bulan lalu ia baharu dibaiki.

"Setakat ini pemilik rumah yang dinaiki air belum dipindahkan ke pusat penempatan sementara banjir, namun penduduk mengambil langkah berjaga-jaga sekiranya keadaan bertambah teruk," katanya.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Sepang, Azli Muhidin berkata, anggotanya diarahkan membuat rondaan dan pemantauan ke rumah penduduk yang terjejas.

Katanya, belum ada pemindahan namun anggota APM akan mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan penduduk.

Disiarkan pada: June 20, 2020 @ 4:30pm
d