mutakhir

'Jauhnya mung mari berlumba'

Oleh Rosli Ilham

MEREKA sanggup datang beratus kilometer dan menjadikan laluan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dari Gemuruh ke Bukit Besi dekat Dungun untuk berlumba.

Malah, segelintir mereka turut berlagak samseng dengan bunyi ekzos motosikal yang bising.

Dalam operasi bersepadu yang dilakukan polis trafik dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu petang semalam, sebanyak 61 motosikal ditahan dengan 44 daripada disita atas pelbagai kesalahan.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Baharudin Abdullah berkata, operasi bermula 3 petang membabitkan dua pegawai dan 27 anggota trafik dengan bantuan 11 anggota JPJ.

Katanya, operasi memberi tumpuan di sekitar stesen minyak dan kawasan rehat dan rawat (R&R) Bukit Besi.

"Kesemua motosikal yang ditahan dibawa ke Balai Polis Bukit Besi untuk tindakan lanjut.

"Sebanyak 111 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan termasuk tiada lesen memandu, lesen memandu tamat tempoh, cukai jalan tamat tempoh, tidak memakai topi keledar dan ekzos bising," katanya.

Menurutnya, pihak JPJ turut mengeluarkan 67 saman diikuti 37 notis larangan penggunaan kenderaan dan 69 notis arahan pemeriksaan kenderaan.

"Kebanyakan mereka yang ditahan berasal dari Tepoh, Kuala Terengganu, Bukit Payong, Hulu Terengganu dan Kemaman.

"Perbuatan mereka berlumba bukan sahaja membahayakan nyawa mereka, malah mengganggu pengguna jalan raya lain," katanya.

Disiarkan pada: June 20, 2020 @ 4:39pm
d