mutakhir

Memang saja cari pasal...

Oleh Abdul Rahemang Taiming

AKIBAT menunjukkan isyarat lucah "jari tengah" kepada sekumpulan polis yang sedang berkonvoi, seorang lelaki ditahan di Jalan Kuhara berhampiran Taman Semarak, Tawau, kelmarin.

Dalam kejadian 7.50 malam itu, suspek berusia 42, ditahan ketika menaiki motosikal dari arah Kalabakan menuju ke Kampung Ranggu.

Terdahulu, sekumpulan 11 anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) menaiki tiga kenderaan dalam perjalanan dari Ibu Pejabat PGA Briget Sabah menuju ke Batalion 14 PGA Tawau.

Bagaimanapun, sebaik tiba di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Abaka, suspek yang menunggang motosikal dengan sengaja menyelit dicelah-celah konvoi kenderaan pasukan keselamatan itu.

Suspek juga dikatakan menunjukkan isyarat jari tengah kepada semua anggota PGA terbabit menyebabkan mereka bertindak mengejarnya sebelum berjaya memintas motosikal suspek.

Difahamkan suspek cuba melarikan diri namun berjaya ditahan sebelum diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Peter Umbuas ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

Katanya, hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.

"Suspek direman empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Disiarkan pada: June 20, 2020 @ 6:48pm
d