mutakhir

Ismail Sabri lawat Pangkalan Udara Butterworth

Oleh BERNAMA

MENTERI Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini melakukan lawatan kerja ke Pangkalan Udara Butterworth di Butterworth, Pulau Pinang.

Lawatan ke perkhidmatan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu adalah lawatan sulung beliau sejak dilantik mengemudi Kementerian Pertahanan pada Mac lalu.

Tujuan lawatan kerja Ismail Sabri yang juga Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) bagi menyampaikan manifestasi dan amanat beliau dalam memfokuskan empat hala tuju kementerian.

Empat hala tuju itu merangkumi memperkasakan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari segi aset dan persenjataan, mempertingkatkan sistem teknologi yang digunakan ATM agar selari dengan perkembangan teknologi serta memperkasakan aspek kesejahteraan anggota ATM dan kebajikan veteran ATM.

Sepanjang lawatan hampir tiga jam itu, Ismail Sabri yang diiringi Komander Pangkalan, Brigadier Jeneral Shaiful Azuar Ariffin dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican serta delegasi diberikan taklimat berhubung Pangkalan Udara Butterworth, pengoperasian pangkalan, perancangan pembangunan infrastruktur, kekangan serta cabaran yang dihadapi pihak pangkalan secara holistik.

Seusai mendengar taklimat berkenaan, beliau dibawa melihat pameran statik pesawat pejuang F/A-18D (Hornet), Hawk dan helikopter EC725 AP.

Ismail Sabri turut meninjau dan melihat pengoperasian Pusat Simulator Pejuang (PSP) iaitu Full Mission Simulator (FMS) HAWK dan Tactical Operational Flight Trainer (TOFT) Hornet.

Disiarkan pada: June 20, 2020 @ 7:10pm
d