mutakhir

Tiga kesan tetakan di kepala

Oleh Balqis Jazimah Zahari

BEDAH siasat Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) ke atas wanita warga emas yang dipercayai dibunuh amah di sebuah rumah di Pasir Puteh, Ipoh, semalam, mendapati kematian disebabkan tetakan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh Superintendan Mohamed Nordin Abdullah berkata, si mati mengalami kecederaan di kepala selain patah tulang rusuk.

"Hasil bedah siasat mendapati terdapat 19 hirisan kecil dan tiga kesan tetakan pada kepala mangsa.

"Terdapat juga lapan hirisan kecil di tangan kanan dan tujuh hirisan kecil di tangan kiri," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohamed Nordin berkata, selain itu hasil bedah siasat juga mendapati si mati turut dicekik.

"Polis setakat ini tidak menemui senjata yang digunakan oleh suspek untuk membunuh," katanya.

Katanya, suspek yang dikenali sebagai Siti Naisyah yang juga pembantu rumah mangsa diperlukan bagi membantu siasatan kes pembunuhan ini.

"Pembantu rumah itu menjadi orang yang terakhir bersama mangsa dan boleh membantu polis menyelesaikan kes ini.

"Setakat ini, kita sedang mengesan sama ada suspek berkemungkinan masih lagi berada di sekitar kawasan berkenaan atau tidak," katanya.

Katanya, motif pembunuhan mangsa masih lagi dalam siasatan polis.

Sebelum ini Harian Metro melaporkan, polis memburu pembantu rumah warga Indonesia dipercayai terbabit dalam pembunuhan majikannya di sebuah rumah di Pasir Puteh.

Wanita dilihat keluar rumah membawa beg pakaian dipercayai mahu melarikan diri.

Berita berkaitan

Jiran nampak amah keluar bawa beg pakaian

Polis cari amah dipercayai bunuh majikan

Disiarkan pada: June 20, 2020 @ 7:33pm
d