mutakhir

Helah barang kemas disamun tak menjadi

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

BIMBANG dimarahi suami, seorang wanita sanggup membuat laporan polis palsu kononnya barangan kemasnya disamun sedangkan ia dipajak.

Menurut sumber, dalam kejadian Isnin lalu, wanita berusia 23 tahun itu tampil membuat laporan di Balai Polis Damansara memberitahu dia disamun.

"Polis yang menerima maklumat kemudian menjalankan siasatan dan menemubual wanita itu.

"Dia membawa polis ke lokasi kejadian yang kononnya dia disamun iaitu di Persiaran Bukit Utama, Petaling Jaya," katanya.

Sumber berkata, bagaimanapun hasil siasatan lanjut mendapati keterangan diberinya meragukan dan akhirnya dia mengaku membuat laporan palsu.

"Barangan kemas itu tidak disamun sebaliknya sudah dipajak di Sungai Way untuk kegunaan peribadinya.

"Bagaimanapun bimbang dimarahi suaminya jika mengetahui perbuatannya, dia membuat laporan palsu itu," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal ketika dihubungi hari ini mengesahkan kejadian itu.

"Kita mencadangkan untuk membuat pertuduhan terhadapnya berhubung laporan palsu itu kepada Timbalan Pendakwa Raya," katanya.

Disiarkan pada: June 20, 2020 @ 8:15pm
d