mutakhir

Sudah larang tapi degil...

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

LIMA lelaki ditahan selepas didapati memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Op Alkohol di beberapa lokasi sekatan jalan raya (SJR) sekitar Petaling Jaya, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, sepanjang operasi bermula 11 malam, seramai 501 individu membabitkan 467 kenderaan diperiksa.

"Daripada jumlah itu, lima lelaki berusia 30 hingga 49 tahun ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had ditetapkan.

"Mereka yang ditahan adalah pemandu kenderaan perdagangan, mekanik dan bekerja sendiri," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kesemua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 45(A)(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam operasi sama, Nik Ezanee berkata, sebanyak 22 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan jalan raya.

Katanya, fokus utama operasi bertujuan membanteras dan mencegah pengguna jalan raya memandu atau menunggang motosikal di bawah pengaruh alkohol yang membahayakan keselamatan orang lain.

"Hasil tinjauan semalam menunjukkan masih ada pengguna jalan raya yang memandu di bawah pengaruh alkohol," katanya.

Katanya, pihaknya akan terus melaksanakan operasi berkenaan dari semasa ke semasa.

Disiarkan pada: June 21, 2020 @ 4:55pm
d