mutakhir

Banjir di Johor akibat taburan hujan lebat

Oleh Omar Ahmad

BANJIR di Johor disebabkan taburan hujan lebat dalam tempoh singkat yang mengakibatkan limpahan air dari sistem perparitan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R Vidyananthan berkata, banjir kilat ini diburukkan dengan air pasang yang terjadi di kebanyakan lokasi dengan ketinggian antara 1.7 hingga 2.2 meter.

Katanya, 18 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka untuk menempatkan 1,219 mangsa daripada 289 keluarga di lima daerah membabitkan Pontian, Batu Pahat, Muar, Kluang dan Tangkak.

"Seperti semua sedia maklum, kita masih lagi dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), jadi saya ingin mengingatkan supaya semua pihak perlu mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan oleh kerajaan.

"Kerap membasuh tangan dengan menggunakan sabun, sentiasa memakai pelitup muka bagi yang bergejala dan amalkan penjarakan sosial.

"Tindakan yang perlu kita buat ketika banjir ialah menjauhkan diri daripada banjir, pindah segera ke pusat pemindahan dan matikan semua punca bekalan elektrik apabila berpindah," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mangsa banjir perlu menjaga kesihatan ketika berada di PPS bagi mengelakkan sebarang jangkitan penyakit.

Disiarkan pada: June 21, 2020 @ 5:13pm
d