mutakhir

Saring 7,182 individu masuk negara

Oleh Amir Abd Hamid

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) sudah membuat saringan terhadap 7,182 individu di semua pintu masuk negara sejak 10 Jun hingga Jumaat lalu.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata daripada jumlah itu, 7,158 individu didapati negatif Covid-19 dan sedang menjalankan proses kuarantin wajib di kediaman masing-masing.

Menurutnya, seramai 24 individu lagi pula didapati positif wabak itu dan sudah dihantar ke hospital untuk rawatan.

"Semalam, seramai 528 rakyat Malaysia pulang ke tanah air melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Singapura, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Indonesia, Australia, Jepun, Vietnam, India, Belanda dan Korea Selatan.

"Seramai 526 individu daripadanya diperintahkan untuk menjalani proses kuarantin wajib di kediaman mereka manakala dua lagi dibawa ke hospital," katanya.

Sementara itu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sudah melakukan 8,752 operasi sanitasi merangkumi 134 zon, sejak 30 Mac lalu.

Ismail Sabri berkata dalam tempoh sama sebanyak 12,335 premis sudah disanitasi.

"Premis disanitasi membabitkan 2,673 pusat perniagaan, 5,221 bangunan kerajaan, 1,588 kawasan perumahan termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR), 2,499 tempat awam dan 354 pasar raya.

"Semalam sebanyak 49 operasi sanitasi meliputi 34 Zon di sembilan negeri antaranya Sarawak (22 operasi), Sabah (11 operasi) dan Selangor (empat operasi)," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan media laporan perkembangan harian mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ke-96 dan hari ke-12 PKP Pemulihan (PKPP), hari ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: June 21, 2020 @ 5:18pm
    d