mutakhir

Bantuan Prihatin Elektrik Tambahan tidak jejaskan TNB

Oleh M Hifzuddin Ikhsan

PEMBERIAN Bantuan Prihatin Elektrik Tambahan tidak akan menjejaskan operasi Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam memastikan bekalan dan infrastruktur elektrik negara terjamin.

Pengerusi TNB Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya sudah bersetuju bahawa bantuan yang disalurkan kepada rakyat adalah tanggungjawab bersama antara TNB dan kerajaan.

Katanya, TNB akan berusaha melakukan penyesuaian dalam menampung kos berkaitan dan pada masa sama memberi jaminan operasi bekalan elektrik negara berjalan seperti biasa.

"Kita ambil tanggungjawab ini bersama kerajaan dan ini tidak bermakna berlaku permasalahan (operasi) kerana kita akan sesuaikan.

"Kepentingan rakyat tetap terjamin dan segala kemudahan elektrik, kerja pembaikan, penyelenggaraan infrastruktur TNB tetap berjalan seperti biasa," katanya kepada media di Kuala Nerang hari ini.

Semalam kerajaan mengumumkan seramai empat juta atau 52.2 peratus pengguna domestik dengan bil elektrik sebulan kurang RM77 atau penggunaan bawah 300kWj akan menikmati bekalan elektrik percuma selama tiga bulan di bawah Bantuan Prihatin Elektrik Tambahan.

Pengguna yang terbabit akan mendapat bekalan elektrik percuma bagi bulan April, Mei dan Jun yang akan dikreditkan ke dalam bil pengguna pada Julai dalam bentuk rebat.

Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap menjelaskan, bagi memastikan kefahaman orang ramai dalam isu ini, pihaknya akan melakukan proses penerangan dari semasa ke semasa.

"Kita juga ambil tanggungjawab menerangkan proses pengiraan bantuan ini kepada semua pelanggan yang tidak memahami kaedah pengiraan dilakukan.

"Orang ramai boleh berkunjung ke 129 Kedai Tenaga di seluruh negara atau menghubungi talian TNB Careline bagi mendapatkan maklumat lanjut," katanya.

Disiarkan pada: June 21, 2020 @ 5:31pm
d