mutakhir

Harap bukan tetapi itu memang mayatnya [METROTV]

Oleh Siti Rohana Idris

MAYAT seorang lelaki ditemui terapung di Sungai Kelantan berhampiran Tambatan Diraja, di Kota Bharu.

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, mayat lelaki berusia 30 tahun itu ditemui seorang pemancing yang dikatakan terlihat sebelah selipar milik mangsa di tebing sungai sebelum menyedari satu objek terapung di tengah sungai.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, mayat ditemui dalam keadaan sempurna dan berpakaian lengkap.

"Mayat dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk bedah siasat. Hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati mangsa meninggal dunia akibat lemas dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, laporan polis berkenaan kehilangan mangsa juga dibuat keluarganya pada 9 pagi semalam apabila mangsa tidak pulang ke rumah.

Sementara itu, ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali berkata, mangsa keluar dari rumahnya di Apartmen Pelangi Mall, tidak jauh dari Sungai Kelantan sejak pagi semalam dan tidak pulang.

Katanya, ahli keluarga ada menjalankan usaha mencari termasuk sekitar tepi sungai hingga malam tadi namun gagal.

"Ketika berita penemuan mayat yang belum dikenal pasti identiti diketahui tadi, bapa mangsa yang berada di dalam apartmen ternampak polis dan bomba menjalankan operasi menyelamat dari tingkat atas namun berharap ia (mayat) bukanlah anaknya.

"Tidak lama selepas itu kami dihubungi rakan memberitahu mayat itu adalah ahli keluarga kami yang hilang sejak semalam," katanya.

Disiarkan pada: June 21, 2020 @ 9:32pm
d