mutakhir

Kantoi seludup 20 kambing

Oleh Siti Rohana Idris

SEBANYAK 20 kambing yang diseludup dari Thailand dipercayai untuk Aidiladha dirampas pihak berkuasa di Pengkalan Kubor, malam tadi.

Rampasan 11.30 malam dibuat anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) ketika rondaan bermotosikal antara Pisau Raut dengan Nibong.

Pegawai Pemerintahnya, Superintendan Azhari Nusi berkata, anggotanya ternampak lori dalam keadaan mencurigakan.

"Anggota kami memintas kenderaan itu sambil memperkenalkan diri.

"Pemandu lori itu kemudiannya memberhentikan kenderaan di tepi lorong kampung dan secara tiba-tiba melarikan diri ke dalam semak berhampiran dan anggota kami cuba mengesannya namun gagal," katanya ketika dihubungi di Tumpat, hari ini.

Azhari berkata, hasil pemeriksaan dalam kenderaan itu terdapat 20 kambing yang dianggarkan bernilai RM24,000 disyaki diseludup dari Thailand.

Haiwan itu diserahkan kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Kelantan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Binatang 1953.

Menurutnya hasil siasatan awal, semua kambing itu dipercayai diseludup melalui pengkalan haram bagi mengelakkan cukai kerajaan dan pemeriksaan pihak berkuasa.

"Kita percaya ia dibawa masuk secara berulang dalam kuantiti kecil melalui Sungai Golok dan dikumpulkan di satu tempat sebelum dihantar ke pasaran.

"Permintaannya agak tinggi terutama menjelang Aidiladha namun kita akan terus mengawal sempadan negara bagi mengekang aktiviti rentas sempadan termasuk penyeludupan," katanya.

Disiarkan pada: June 22, 2020 @ 12:31pm
d