mutakhir

Kurangkan tambang penerbangan: Ka Siong

Oleh Suraya Roslan

SYARIKAT penerbangan perlu menurunkan harga tambang susulan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) penjarakan sosial terhadap penumpang dalam pesawat dan pengunjung terminal.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, syarikat penerbangan perlu mengurangkan harga tambang dan meningkatkan kekerapan penerbangan sejajar dengan pengecualian arahan penjarakan sosial di dalam pesawat bagi semua perkhidmatan penerbangan berjadual dan tidak berjadual.

"Keputusan ini hasil perjumpaan Kementerian Pengangkutan (MOT) dengan Malaysia Airlines Berhad (MAB), AirAsia Berhad dan Malindo Air pada 11 Jun lalu bagi membincangkan mengenai pemulihan semula sektor penerbangan.

"Syarikat penerbangan memaklumkan harga tiket penerbangan ditentukan menggunakan kaedah dinamik yang antara lain mengambil kira kadar penawaran dan permintaan yang didorong oleh pasaran," katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Menurutnya, syarikat penerbangan negara akan menetapkan kadar tambang penerbangannya dengan mengambil kira permintaan pasaran, keadaan ekonomi serta faktor lain seperti harga bahan api dan kos operasi.

"Syarikat penerbangan juga perlu memastikan terdapat permintaan yang berterusan dan stabil sebelum harga tambang dapat kembali ke tahap normal seperti sebelum wabak Covid-19.

"Tambang penerbangan juga mengambil kira waktu tiket dibeli dan sekiranya tiket yang dibeli terlalu hampir dengan tarikh penerbangan, maka harga tambang akan menjadi lebih tinggi berbanding pembelian awal," katanya.

Menurutnya, orang ramai disaran untuk membuat perancangan dengan membeli tiket penerbangan lebih awal bagi mendapatkan tawaran harga tiket yang lebih murah berbanding pembelian di saat akhir.

"Kerajaan juga mengingatkan syarikat penerbangan untuk sentiasa menetapkan kadar tambang penerbangan munasabah serta tidak membebankan rakyat terutama semasa tempoh pemulihan akibat pandemik Covid-19.

"Kerajaan memandang serius berhubung kesan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu terhadap sektor penerbangan domestik dan antarabangsa.

"PKP yang dilaksanakan bagi menjaga keselamatan dan kesihatan orang ramai daripada pandemik Covid-19 ini secara tidak langsung memberi kesan kepada industri dan membataskan pergerakan orang ramai untuk bekerja atau urusan lain," katanya.

Wee berkata, selain itu, Mesyuarat Khas Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP yang diadakan 18 Jun lalu turut memutuskan supaya pelaksanaan penjarakan sosial di pintu pelepasan (boarding gate) sebelum memasuki pesawat dalam terminal lapangan terbang dikecualikan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Pelaksanaan penjarakan sosial dilonggarkan bagi penumpang yang sudah melepasi pemeriksaan keselamatan dan sedang beratur di pintu pelepasan.

"Pengunjung selain daripada penumpang termasuk 'Meeters dan Greeters' dibenarkan untuk memasuki bangunan terminal di lapangan terbang.

"Ia bertujuan membantu penumpang terutama warga emas dan orang kurang upaya yang memerlukan bantuan," katanya.

Katanya, orang ramai masih perlu mematuhi semua garis panduan yang ditetapkan seperti pemeriksaan kesihatan, suhu badan dan menggunakan pelitup muka serta cecair pembasmi kuman ketika berada di terminal lapangan terbang.

Disiarkan pada: June 22, 2020 @ 12:44pm
d