mutakhir

Motosikal masuk anak sungai, penunggang lemas

Oleh Norsyazwani Nasri

SEORANG lelaki maut selepas motosikal ditunggangi hilang kawalan lalu tercampak ke dalam anak sungai di selekoh Jalan Bau-Serikin, di Bau, malam tadi.

Dalam kejadian 8.30 malam itu, Kannan Muniandy, 39, beralamat di Taman Desa Wira, Skim Penempatan Baru, Kuching, maut akibat lemas di anak sungai itu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari Jagoi, Serikin menuju ke Pasar Bau.

"Motosikal ditunggang mangsa hilang kawalan lalu terbabas ke sebelah kiri jalan dan tercampak ke dalam anak sungai.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik dari Hospital Bau," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke rumah mayat Hospital Bau untuk pemeriksaan lanjut

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Disiarkan pada: June 22, 2020 @ 2:50pm
d