mutakhir

Operasi Benteng efektif tangani Pati

Oleh Amir Abd Hamid

OPERASI Benteng oleh Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) yang dilaksanakan secara bersepadu antara agensi dan diterajui Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjaya mencegah cubaan masuk pendatang asing tanpa izin (Pati) etnik Rohingya ke Malaysia.

Panglima ATM Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, aset-aset diatur gerak dengan penggunaan dron dan radar pengesan secara optimum oleh semua agensi yang terbabit dalam operasi itu.

Menurutnya, penyatuan NTF itu juga efektif memberi amaran awal kemasukan Pati melalui konsep operasi praktikal iaitu memperkasakan kaedah pencegahan, pengesanan dan penghindaran.

"Melalui pelaksanaan Operasi Benteng, ia dapat memperkukuhkan serta memperkuatkan lagi benteng pertahanan negara melalui koordinasi serta penyelarasan operasi sedia ada, sebelum ini.

"Dengan adanya jaringan gabungan ini, perkongsian maklumat dapat diproses lebih baik seterusnya tindakan susulan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau memberikan reaksi laporan Harian Metro mengenai kapal membawa kira-kira 300 pelarian Rohingya yang didakwa berselindung di Pulau Koh Adang, Laut Andaman di selatan Thailand sebelum ini, kini gagal dikesan.

Mengulas lanjut, Affendi berkata, kerjasama dengan negara jiran amat baik di mana Malaysia menggunapakai platform bilateral sedia ada untuk mengukuhkan kerjasama terjalin sekian lama dalam pengawasan sempadan daratan dan maritim negara.

Bagaimanapun, katanya, setiap agensi yang terbabit dalam operasi itu termasuk ATM sentiasa memastikan kesiapsiagaan anggota dan aset berada dalam keadaan terbaik untuk menghadapi apa jua situasi.

"Selagi musuh utama iaitu wabak pandemik Covid-19 ini belum berakhir, Operasi Benteng ini akan dipertingkatkan kawalannya tanpa mengira masa," katanya.

Operasi Benteng diaktifkan sejak Mei lalu di bawah NTF dengan kerjasama ATM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Disiarkan pada: June 22, 2020 @ 4:09pm
d