mutakhir

Bekas petugas mahkamah didakwa pecah amanah RM204,070

Oleh BERNAMA

SEORANG bekas petugas mahkamah didakwa di Mahkamah Sesyen di Ipoh, hari ini atas 94 pertuduhan pecah amanah membabitkan jumlah keseluruhan RM204,070, pada lapan tahun lalu.

Tertuduh, K. Kai Kan Chana, 41, yang semasa kejadian bertugas sebagai Pembantu Tadbir (Kewangan) di Mahkamah Sesyen/Majistret Ipoh mengaku tidak bersalah atas kesemua 94 pertuduhan yang dibacakan secara satu persatu di hadapan Hakim Norashima Khalid.

Berdasarkan kesemua pertuduhan, Kai Kan Chana yang diamanahkan dengan harta tertentu iaitu resit-resit dengan nilai tertentu bagi kes mahkamah, dengan curangnya menggunakan atau melepaskan harta itu dengan melanggar apa-apa arahan yang menetapkan cara bagaimana amanah itu perlu disempurnakan.

Wanita itu, yang diminta bersara pada 1 Nov, 2018 daripada jawatan berkenaan, didakwa melakukan kesemua 94 pecah amanah itu untuk transaksi bermula 5 April, 2012 hingga 25 Okt, 2012.

Semua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun, sebat dan denda.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan negeri Perak, Azhar Mokhtar, Timbalan Pendakwa Raya Waffy Ismail dan Nazreen Zabarudin, manakala tertuduh diwakili peguam Ranjit Singh.

Pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM67,345 dengan mengambil kira faktor kesihatan tertuduh yang perlu menjalani rawatan psikiatri susulan pada setiap bulan.

Bagaimanapun, Ranjit memohon jumlah itu dikurangkan kepada RM20,000 namun hakim menetapkan wang jaminan RM1,000 bagi setiap pertuduhan dan mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah serta menetapkan 28 Julai untuk sebutan semula kes.

Disiarkan pada: June 22, 2020 @ 5:44pm
d