mutakhir

203 rumah terjejas banjir

Oleh Mohd Amin Jalil

SEBANYAK 203 rumah di Kampung Jijan dan Kampung Kubang, Nilai dinaiki air sedalam kira-kira satu meter susulan hujan lebat sejak awal pagi tadi.

Pegawai Operasi Bencana, Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Seremban Mohd Najib Abdul Karim berkata, Kampung Jijan mengalami kesan lebih teruk apabila banjir membabitkan 200 rumah manakala hanya tiga rumah di Kampung Kubang.

Katanya, pihaknya sudah membuka satu pusat perpindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Kampung Jijan bagi membantu mangsa yang terjejas dalam banjir kilat berkenaan.

"Hujan melanda kawasan berkenaan kira-kira jam 4 pagi namun banjir kilat dikesan berlaku pada jam 7 pagi.

"Bagaimanapun di Kampung Kubang, ia tidak memberi kesan besar kerana hanya sekadar banjir kilat biasa apabila rumah penduduk dinaiki air yang berpunca daripada limpahan air sungai berdekatan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Najib berkata, banjir di kawasan Kampung Jijan lebih serius apabila membabitkan kawasan lebih luas iaitu Kampung Jijan Hulu, Jijan Hilir dan Jijan Tengah.

Katanya, pihaknya mendapati terdapat 200 keluarga yang terjejas kerana kediaman dimasuki air disebabkan limpahan air sungai berdekatan.

"Air cepat naik kerana hujan dan tambahan pula ada limpahan air dari sungai berhampiran.

"Setakat tengah hari tadi (semalam), sebanyak 30 keluarga sudah berpindah ke PPS.

"Kami juga mendapat kerjasama daripada beberapa agensi lain seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan dalam memastikan keselamatan mangsa.

"Tambahan pula terdapat mangsa di kalangan ibu mengandung dan bayi, namun kami akan terus memantau dan membantu mangsa jika keadaan banjir berlarutan," katanya.

Menurutnya, setakat ini tiada kerosakan teruk harta benda walaupun terdapat beberapa kenderaan penduduk dimasuki air banjir.

Disiarkan pada: June 22, 2020 @ 6:16pm
d