mutakhir

Siapa pemilik lembu degil ? baik mengaku cepat

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

TIGA ekor lembu ditangkap Majlis Perbandaran Taiping (MPT) dalam operasi khas bermula semalam selepas haiwan ternakan itu didapati berkeliaran khususnya di atas jalan raya.

Jurucakap MPT berkata, operasi dijalankan dengan kerjasama Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah Larut Matang & Selama, Balai Polis Batu Kurau, serta Pejabat Penghulu Batu Kurau di sepanjang jalan dari Kamunting ke Batu Kurau serta sekitar kawasan Batu Kurau, Perak.

Katanya, operasi dilakukan hasil aduan penduduk yang kerap melihat haiwan itu mengganggu lalu lintas di jalan berkenaan.

Difahamkan masalah lembu liar berkeliaran di atas jalan itu juga menjadi punca kemalangan membabitkan kenderaan yang melalui kawasan itu.

"Kebiasaannya denda sebanyak RM1,000 dikenakan bagi setiap lembu jika pemiliknya datang menuntut kembali haiwan itu. Sekiranya tiada tuntutan dalam tempoh tiga hari dari tarikh tangkapan, haiwan itu akan dilelong.

"Manakala kompaun sebanyak RM250 dikenakan jika haiwan berkenaan gagal ditangkap namun pemiliknya berjaya dikenal pasti.

"Ketiga-tiga lembu yang berjaya ditangkap semalam akan diletakkan dalam kandang yang terdapat di bengkel milik MPT," katanya tadi.

Terdahulu, Harian Metro pada 13 Jun lalu melaporkan seorang wanita maut selepas lima hari bertarung nyawa akibat motosikal ditunggangnya terlanggar lembu yang melintas jalan di Batu 14, Jalan Ulu Sepetang - Redang Panjang, Taiping.

Ibu kepada mangsa kemalangan itu, Jamilah Mohd Ramli, 51, mengakui masalah lembu liar berada di sepanjang jalan utama dari Kamunting ke Batu Kurau berlaku sejak sekian lama sehingga menyebabkan banyak kemalangan berlaku disebabkan masalah itu.

Disiarkan pada: June 22, 2020 @ 6:18pm
d