mutakhir

29 kontak rapat kluster Labu Lanjut sudah dikenal pasti

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim dan Raja Noraina Raja Rahim

SERAMAI 29 kontak rapat kes positif Covid-19 dari kluster Labu Lanjut, Sepang, sudah dikenal pasti.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pengesanan kontak rapat itu dilakukan selepas menerima lima kes jangkitan Covid-19 dalam kalangan ahli keluarga.

"Kita masih menjalankan siasatan dan sudah kenal pasti 29 kontak rapat kepada lima kes yang mana seorang adalah kes indeks yang menjangkiti ahli keluarga.

"Tiada kes dikesan positif Covid-19 selain daripada ahli keluarga terbabit," katanya dalam sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Ditanya langkah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengawal jangkitan dari kluster berkenaan, Dr Noor Hisham berkata, pihaknya sudah menjalankan saringan terhadap kontak rapat.

"Tidak perlu untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan itu, memadai dengan kita menjalankan saringan," katanya.

Terdahulu, Dr Noor Hisham dilaporkan berkata, satu kluster baharu dikesan di Labu Lanjut, Sepang yang sehingga kini membabitkan lima kes positif Covid-19.

Kes indeks adalah seorang pesakit yang dirawat untuk Jangkitan Pernafasan Akut (ARI) di Hospital Serdang yang dikesan positif pada 5 Jun lalu.

Disiarkan pada: June 22, 2020 @ 6:26pm
d