mutakhir

Mana ada penjual durian positif Covid-19

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

JABATAN Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) menafikan terdapat kes baharu jangkitan Covid-19 membabitkan seorang peniaga durian di Wakaf Tembesu, Kuala Nerus seperti tular di aplikasi WhatsApp.

Pengarah JKNT Dr Nor Azimi Yunus berkata, maklumat tular itu tidak tepat kerana Terengganu mencatat sifar kes baharu sejak 27 Mei lalu dan kes terakhir adalah pesakit berumur 35 tahun dari Kemaman yang menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan, Pahang pada 20 Mei lalu.

"Pesakit itu sudah dibenarkan keluar pada 27 Mei lalu dan selepas itu, tiada lagi kes aktif Covid-19.

"Kita sedia maklum dengan penyebaran berita kononnya ada penjual durian disahkan positif dan dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), namun ingin saya tegaskan berita itu palsu.

"Tolong hentikan penyebaran berita palsu ini kerana ia boleh menimbulkan ketakutan kepada masyarakat sedangkan hal itu tidak berlaku di sini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sebelum ini, tular menerusi aplikasi WhatsApp yang menghalang orang ramai daripada membeli durian di kawasan Wakaf Tembesu, Kuala Nerus kerana terdapat penjual durian disahkan positif Covid-19.

Terengganu diisytiharkan bebas Covid-19 sekali gus dikategorikan zon hijau wabak selepas pesakit terakhir pulih pada 27 Mei lalu.

Disiarkan pada: June 22, 2020 @ 6:36pm
d