mutakhir

9 lelaki nafi 'samseng jalan raya' [METROTV]

Oleh Mohd Khidir Zakaria

SEMBILAN lelaki termasuk tiga remaja bawah umur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Port Dickson, hari ini atas pertuduhan menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya di Port Dickson, Ahad lalu.

Kesemua tertuduh Muhammad Fitri Nasruddin, 19; Muhammad Alif Mohd Noor, 21; M Vinot, 23; S Darshan, 23; Rizki, 24; Muhammad Aliff Adnan, 24; dan tiga lagi tertuduh bawah umur membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Siti Huzaifah Abdul Talib.

Berdasarkan pertuduhan kesemua tertuduh menunggang motosikal secara melulu yang berbahaya kepada awam di Jalan Bypass Port Dickson, 2.30 pagi hingga 3.30 pagi, Ahad lalu.

Kesemua tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh dihukum penjara tidak lebih lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang dua tahun dan jika lesen memandu percubaan ia boleh dibatalkan.

Tiada jaminan ditawarkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Hafizah Zainul Hashimi yang mengendalikan kes ini.

Vinot, Darshan dan dua tertuduh bawah umur diwakili peguam K Sheela manakala Muhammad Fitri, Muhammad Alif Adnan, Muhammad Alif Mohd Noor dan seorang tertuduh bawah umur diwakili peguam Veni Paul.

Sementara itu, Rizki yang juga warganegara Indonesia tidak diwakili peguam.

Majistret kemudiannya membenarkan kesemua tertuduh kecuali Rizki diikat jamin sebanyak RM2,200 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes pada 27 Julai depan.

Disiarkan pada: June 23, 2020 @ 12:52pm
d