mutakhir

Dalang sindiket dadah: Datuk Seri berdepan tali gantung

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

LELAKI bergelar Datuk Seri yang menjadi dalang sindiket pengedaran dadah berjaya ditahan polis dalam serbuan di Taman Seri Gombak, Batu Caves, Gombak, pada 16 Jun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor Asisten Komisioner Abdul Latiff Mehat berkata, pihaknya melakukan serbuan di lokasi terbabit jam 2.15 petang yang membawa kepada penahanan empat lagi individu.

"Dalam serbuan itu, kami menahan lima suspek berusia antara 25 hingga 45 tahun termasuk dalang iaitu seorang lelaki bergelar Datuk Seri berusia lingkungan 40-an yang berperanan sebagai ejen bagi aktiviti pengedaran dadah.

"Kami turut merampas 10.5 kilogram dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM420,000 dalam serbuan berkenaan.

"Mereka yang ditahan terdiri daripada ejen hartanah, pemandu lori, tukang masak serta peniaga," katanya ketika ditemui, hari ini.

Abdul Latiff berkata, pihaknya turut menyita dua kereta iaitu Toyota Vios dan BMW 523i yang dianggarkan bernilai RM185,000 dalam serbuan terbabit.

"Siasatan awal mendapati sindiket itu dipercayai aktif melakukan kegiatan pengedaran dadah sejak enam bulan lalu.

"Hasil siasatan juga mendapati suspek mendapat bekalan dadah berkenaan di Pantai Timur sebelum diedar di kawasan sekitar Lembah Klang," katanya.

Beliau berkata, semakan mendapati dua daripada suspek berkenaan mempunyai rekod berkaitan dadah dan kesalahan kastam.

"Hasil ujian saringan awal air kencing dilakukan tiga daripada lima suspek berkenaan didapati positif methaphetamin.

"Semua suspek direman selama tujuh hari bermula 17 Jun lalu dan akan disambung semula untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Dalam serbuan berasingan, pihaknya turut menahan seorang pengawal keselamatan berusia 27 tahun selepas didapati mengedar heroin di Jalan Besar Puchong Hartamas, Subang Jaya jam 9.30 pagi, semalam.

"Hasil tangkapan itu, kami merampas dadah jenis heroin seberat 300 gram yang dianggarkan bernilai lebih RM3,000 dan wang tunai berjumlah RM190.

"Semakan mendapati suspek itu mempunyai rekod jenayah membabitkan kes dadah dan jenayah. Hasil ujian saringan awal air kencing dilakukan terhadap suspek pula didapati negatif.

"Suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 29 Jun nanti untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Disiarkan pada: June 23, 2020 @ 2:21pm
d