mutakhir

Tumbuk, gigit isteri kerana FB

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

HANYA kerana memadamkan aplikasi Facebook (FB) di telefon bimbit suami, seorang wanita ditumbuk dan digigit dalam kejadian di Kampung Bakau Tinggi, Chukai, 20 Jun lalu.

Dalam kejadian 6 petang itu, mangsa berusia 20 tahun menanggung kesakitan akibat perbuatan tidak bertanggungjawab suaminya.

Menurut sumber, pertengkaran pasangan berkenaan berpunca daripada tindakan mangsa memadamkan aplikasi FB di telefon bimbit suspek berusia 20-an.

Katanya, suspek pada mulanya hanya memarahi mangsa sebelum pertengkaran bertukar serius apabila suspek tiba-tiba bertindak menarik rambut mangsa.

"Suspek yang gagal mengawal perasaan turut bertindak menggigit leher dan dada mangsa sehingga berdarah selain menumbuk kepala mangsa sebelum beredar meninggalkan isterinya yang sedang kesakitan.

"Mangsa mendakwa kejadian seumpama itu kerap berlaku setiap kali mereka bergaduh sebelum mangsa mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Chukai pada hari yang sama kerana tidak tahan dengan sikap panas baran suaminya," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 A Akta Keganasan Rumah Tangga 2012.

Disiarkan pada: June 23, 2020 @ 3:11pm
d