mutakhir

Bekas banduan menyamar polis

Oleh Siti Rohana Idris

BEKAS banduan ditahan kerana menyamar sebagai anggota polis disyaki bagi tujuan pemerasan dalam kejadian di Wakaf Bharu, Tumpat, hari ini.

Suspek berusia 34 tahun itu menahan seorang penunggang motosikal ketika melalui jalan cabang tiga Kampung Kebakat, pada 2.30 pagi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tumpat, Deputi Superintendan Mohd Razi Rosli berkata, selepas menahan mangsa berusia 22 itu, suspek memperkenalkan diri sebagai anggota polis dan mengarahkan mangsa memberhentikan kenderaannya.

"Suspek mengarahkan mangsa bergerak ke lokasi sedikit gelap dan meminta mangsa menunjukkan kad pengenalan serta lesen memandu.

"Mangsa yang berasa curiga berjaya melarikan diri dengan meninggalkan motosikalnya dan kembali semula ke lokasi 10 minit kemudian sebelum mendapati kenderaan miliknya itu lesap dipercayai diambil suspek," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Wakaf Bharu dan bertindak atas maklumat, polis menyerbu sebuah rumah di Kampung Padang Rokma, Wakaf Bharu.

Menurutnya, polis berjaya menahan suspek yang berasal dari Kuantan, Pahang itu dan menemui sembilan biji pil kuda dan satu plastik kecil mengandungi hablur jernih dipercayai dadah jenis syabu serta motosikal Demak C70 milik mangsa.

"Hasil saringan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methampethamine dan memiliki lima rekod lampau atas pelbagai kesalahan jenayah dan narkotik.

"Suspek direman selama empat hari bermula hari ini sehingga 26 Jun dan kes disiasat mengikut Seksyen 170/379A Kanun Keseksaan (KK) dan 12(2)/15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB)," katanya.

Disiarkan pada: June 23, 2020 @ 4:16pm
d