mutakhir

Penternak lepaskan 600,000 anak udang galah ke Sungai Timun

Oleh Mohd Amin Jalil

SEORANG penternak dan pembekal benih udang galah terpaksa melepaskan kira-kira 600,000 ekor anak udang berkenaan ke Sungai Timun di Rembau dekat sini, berikutan tiada pembeli sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Abdul Auf Hafiz Hasfarudin, 34, dari Kampung Chuah, Lukut dekat sini, berkata ia dilakukan penghujung bulan lalu memandangkan saiz anak udang sudah tidak sesuai untuk diletak dalam tangki pembenihan.

"Kos modal kira-kira RM48,000 dan jika dijual, saya mampu memperoleh sehingga RM80,000.

"Saya terpaksa lepaskan anak udang galah ini kerana ia sudah cukup matang," katanya yang terbabit dalam bidang berkenaan sejak lima tahun lalu.

Menurutnya, walaupun mengalami kerugian daripada segi kos penghasilan tetapi ia lebih baik berbanding membiarkan anak udang terus berada dalam tangki.

Ini kerana, katanya, jika dibiarkan, kemungkinan besar anak udang mati selain ia mengurangkan kos pembelian makanan.

"Dengan melepaskannya ke sungai, ia akan dapat dimanfaatkan nelayan kecil tempatan untuk mencari rezeki kerana harga udang galah sangat tinggi di pasaran," katanya.

Menurut Abdul Auf Hafiz, lazimnya dia mampu menjual sehingga 1.2 juta ekor benih udang galah sebulan pada harga 75 sen seekor.

Bagaimanapun, sepanjang tempoh PKP dan Penguatkuasaan Perintah Kawalan Bersyarat (PKPB), dia hanya menjual kurang 300,000 ekor.

"Saya membekalkan anak benih udang galah kepada pengusaha dan penternak dengan pendapatan bulanan kasar antara RM20,000 hingga RM25,000.

"Buat sementara, saya hentikan seketika penternakan benih udang galah dan hanya menumpukan perhatian kepada dua kolam memancing rekreasi," katanya.

Disiarkan pada: June 23, 2020 @ 4:23pm
d