mutakhir

Suami isteri dalang edar ganja

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

KEGIATAN suami isteri mengedar ganja terbongkar selepas mereka ditahan bersama tiga individu lain dalam dua serbuan berasingan di Petaling Jaya dan Ampang Jaya pada 18 Jun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor, Asisten Komisioner Abdul Latiff Mehat berkata, pihaknya melakukan serbuan di kawasan parkir kereta sebuah bangunan di Damansara, Petaling Jaya, kira-kira 3 pagi.

"Dalam serbuan itu, kami menahan seorang lelaki dan seorang wanita masing-masing berusia 20 dan 24 tahun bersama 3.05 kilogram ganja yang dianggarkan bernilai RM7,600.

"Hasil tangkapan itu, kami melakukan satu lagi serbuan di sebuah rumah di Ukay Perdana, Ampang Jaya kira-kira satu jam kemudian yang membawa kepada tangkapan tiga individu termasuk suami isteri berusia antara 27 hingga 59 tahun," katanya ketika ditemui, hari ini.

Abdul Latiff berkata, pemeriksaan dilakukan di rumah di Ukay Perdana menemui ganja seberat 716 gram serta tiga anak pokok ganja.

"Siasatan awal mendapati sindiket itu yang didalangi suami isteri berkenaan dipercayai aktif melakukan kegiatan terbabit sejak setahun lalu.

"Semakan mendapati seorang daripada lima suspek berkenaan mempunyai rekod jenayah.

"Hasil ujian saringan air kencing dilakukan mendapati hanya dua daripada lima suspek berkenaan positif dadah jenis THC," katanya.

Beliau berkata, seorang suspek direman selama empat hari, manakala empat lagi suspek direman selama tujuh hari bermula 18 Jun hingga esok ini untuk siasatan lanjut.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Disiarkan pada: June 23, 2020 @ 4:25pm
d