mutakhir

Bersyukur impian miliki rumah termakbul

Oleh Asrol Awang

"SEBAIK permohonan diluluskan, saya dan suami teruja kerana impian selama 25 tahun untuk memiliki rumah sendiri termakbul," kata Rosnida Nahar.

Rosnida, 44, adalah isteri kepada nelayan, Mohamad Abdillah Sedang, 53, dan pasangan berkenaan antara 84 keluarga nelayan diluluskan permohonan projek Penempatan Semula Nelayan (PSN) Bunut Rendang, Kuantan.

"Siapa yang tidak gembira apabila permohonan rumah diluluskan selepas 25 tahun menyewa rumah di Tanjung Api, Kuantan.

"Kami berterima kasih kepada Kerajaan Pahang terutama Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan persatuan nelayan.

"Biarpun jauh dari rumah sewa, kami tetap bersyukur terutama persekitaran PSN Bunut Rendang cantik dan tersusun," katanya.

Keluarga Mohammad Abdillah menerima kunci rumah disampaikan Wan Rosdy pada majlis penyerahan projek dan kunci rumah, semalam.

Bagi fasa 1, sebanyak 154 unit rumah setingkat yang membabitkan tapak seluas 18 hektar dengan nilai projek RM35.4 juta dibina.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, dengan harga RM35,000 seunit, nelayan yang ditawarkan rumah setingkat itu turut menikmati beberapa manfaat daripada kerajaan negeri.

Beliau berkata, antara manfaat diterima ialah rumah mempunyai tiga bilik itu dikategorikan sebagai rumah harga mampu milik, mendapat pelepasan cukai setem dan deposit pendaftaran meter elektrik dan air rendah.

"Bagi kerajaan negeri, persekitaran PSN Bunut Rendang ini sangat cantik kerana terletak di tepi sungai dan harga pasaran pula berkali-kali ganda lebih tinggi daripada RM35,000 ditawarkan itu.

"Namun, sebagai kerajaan negeri yang prihatin, kami menyiapkan projek ini walaupun berlaku kelewatan," katanya.

Disiarkan pada: June 23, 2020 @ 5:30pm
d