mutakhir

APMM bebaskan bot nelayan tempatan ditahan di Indonesia

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) membantu membebaskan bot nelayan tempatan bersama lima kru yang ditahan Kementerian Kelautan dan Perikanan (KKP) Indonesia di kedudukan 30.3 batu nautika barat laut Pulau Jarak, Lumut, semalam.

Dalam kejadian 5.46 pagi itu, bot nelayan berkenaan dipercayai memasuki kawasan pertindihan perairan Malaysia–Indonesia.

Difahamkan, aduan diterima daripada bot nelayan lain di berhampiran kawasan berkenaan yang bertindak menghubungi APMM untuk mendapatkan bantuan.

Pengarah APMM Perak, Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata, bertindak daripada aduan itu, APMM memaklumkan kepada pihak berkuasa Indonesia bahawa bot nelayan terbabit ditahan di kawasan perairan bertindih.

Menurutnya, hasil rundingan yang dijalankan, Indonesia bersetuju untuk menyerahkan bot nelayan berkenaan bersama empat kru warga Thailand dan seorang warga Kemboja yang berpangkalan di Hutan Melintang itu pada hari sama.

Katanya, rundingan yang dibuat berdasarkan ketetapan Memorandum Persefahaman (MoU) Malaysia-Indonesia yang ditandatangani kedua-dua negara pada 27 Januari 2012.

"Berdasarkan memorandum itu, kedua-dua negara bersetuju bekerjasama dalam mengekang aktiviti penangkapan ikan dalam kawasan pertindihan Malaysia dan Indonesia.

"Pendekatan yang perlu diambil oleh agensi penguat kuasa dari kedua-dua negara bagi kes luar jangka dalam kawasan bertindih adalah mengarahkan bot nelayan yang dicurigai untuk meninggalkan kawasan yang disyaki melakukan kesalahan dengan melakukan komunikasi secara terbuka dengan bot terbabit.

"Selain itu, agensi penguat kuasa terbabit juga dikehendaki melaporkan kejadian kepada wakil kedutaan negara berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Disiarkan pada: June 23, 2020 @ 6:22pm
d