mutakhir

Sindiket jeans 'ciplak' buatan Bangladesh, Thailand tumpas

Nurul Hidayah Bahaudin

SELUDUP masuk dari Bangladesh dan Thailand dengan modal serendah RM15 hingga RM20 sehelai. Namun seluar jeans tiruan jenama Levi's ini kemudian dijual pada harga mencecah RM80 sehelai.

Untung menjangkau empat kali ganda ini membolehkan sindiket penyeludupan mampu meneruskan kegiatan walaupun ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19 dikuatkuasakan sejak Mac lalu.

Terbaru, sindiket menjual pakaian tiruan ini dikesan menjadikan sebuah premis kedai dobi di Jalan Reko, Kajang, Selangor, sebagai markas operasi kegiatan haram itu.

Premis menjual seluar jeans tiruan itu bagaimanapun diserbu pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), semalam.

Pengarah KPDNHEP Selangor Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, serbuan itu dilakukan jam 11 pagi selepas KPDNHEP menerima aduan dan hasil risikan dilakukan.

"Dalam serbuan itu, kami merampas 370 seluar jeans jenama Levi's dan 30 kasut pelbagai jenama didapati tiruan dianggarkan bernilai RM20,000.

"Kami turut mengambil keterangan seorang lelaki yang bekerja sebagai penjaga di premis berkenaan," katanya pada sidang media di Pejabat KPDNHEP Kajang tadi.

Muhamad Zikril berkata, siasatan awal mendapati premis berkenaan dipercayai digunakan sebagai lokasi menyimpan dan menjual seluar jeans tiruan itu sejak pelaksanaan PKP Mac lalu.

"Pada asalnya, premis itu adalah sebuah kedai dobi. Namun disebabkan kedai berkenaan tidak beroperasi ketika PKP, sindiket berkenaan menjadikannya sebagai lokasi menyimpan serta menjual seluar jeans tiruan.

"Penutupan operasi kawasan pasar malam dan tapak jualan 'Uptown' juga dipercayai mendorong sindiket ini melakukan jualan di premis berkenaan," katanya.

Beliau berkata, kes itu kini disiasat mengikut Akta Cap Dagangan 2019.

"Kami memandang serius isu penjualan barang tiruan dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau syarikat yang melakukan kesalahan itu.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung barang tiruan boleh menghubungi kami melalui saluran aduan yang disediakan," katanya.

Disiarkan pada: June 23, 2020 @ 6:42pm
d