mutakhir

Mangsa banjir di Johor meningkat

Oleh Mohamed Farid Noh

JUMLAH mangsa banjir di Johor meningkat secara mendadak kepada 731 orang dengan 11 pusat pemindahan semula (PPS) masih dibuka di tiga daerah.

Ia berbanding jumlah mangsa banjir seramai 614 orang dengan 10 PPS dibuka setakat 8 pagi tadi mengikut laporan dikeluarkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R Vidyananthan berkata, peningkatan jumlah mangsa banjir itu berikutan hujan lebat berpanjangan sejak awal pagi tadi sehingga 2 petang ini.

Katanya, tiga daerah yang terjejas ialah Muar, Batu Pahat dan Pontian apabila mencatatkan peningkatan mangsa banjir berbanding pagi tadi.

"Muar mencatatkan pertambahan mangsa banjir kepada 315 orang daripada 85 keluarga berbanding 229 mangsa daripada 64 keluarga dengan pertambahan satu lagi PPS.

"Batu Pahat dan Pontian masing-masing turut mencatatkan pertambahan mangsa banjir kepada 205 orang dan 210 orang berbanding hanya 183 orang dan 202 orang pagi tadi.

"Dua daerah itu bagaimanapun kekal dengan tiga PPS sahaja," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, hujan mula reda di kawasan Pantai Barat Johor, namun pemantauan akan terus dilakukan sebagai langkah berjaga-jaga.

"Bagaimanapun, hujan lebat dilaporkan beralih ke daerah Mersing, Kota Tinggi dan Johor Bahru seperti maklumat ramalan cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia, pagi tadi," katanya.

Disiarkan pada: June 23, 2020 @ 6:56pm
d