mutakhir

Kempen dana awam bantu individu terjejas PKP

Oleh HM Digital

KEPRIHATINAN masyarakat menghulurkan bantuan menerusi hanafundme.com berjaya mengumpul dana bagi membantu Mohammad Azhar Alias membeli motosikal untuk tujuan perniagaan selepas kehidupannya terjejas akibat pandemik Covid-19.

Penularan pandemik Covid-19 menyebabkan perniagaan kecil-kecilan membuat kek milik keluarganya terjejas dan memaksanya melakukan kerja sambilan dengan menyapu jalan bagi menyara keluarga.

Bagai 'Sudah jatuh ditimpa tangga', satu-satunya motosikal miliknya juga tidak dapat digunakan ketika fasa PKP dan memaksanya menyewa motosikal dari rakan.

Berkat perkongsian menerusi media sosial, hanafundme.com iaitu platform pendanaan awam untuk wanita pertama di negara ini melancarkan kempen membantu Muhammad Azhar mengumpul dana dan ia mendapat sokongan dari syarikat motosikal nasional, Modenas.

Kegembiraan nyata terpancar pada wajah Mohammad Azhar apabila kunci motosikal baharu itu diserahkan oleh Ketua Komunikasi Strategik Kumpulan DRB-HICOM Mahmood Abdul Razak di ibu pejabat Modenas di Glanmarie, baru-baru ini.

Turut hadir Ketua Pemasaran dan Komunikasi Modenas Nur Balkish Hood dan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Hanafundme.com, Angie S Chin.

Angie berkata, hanafundme melancarkan aplikasinya pada 18 Mac lalu dan dicipta bagai membantu organisasi tidak berasaskan keuntungan dan perniagaan sampingan wanita dengan mengumpulkan dana awam bagi memulakan perniagaan, menyokong idea, projek atau misi inovatif dengan memanfaatkan sokongan komuniti.

Disiarkan pada: June 23, 2020 @ 7:20pm
d