mutakhir

Satu kehilangan besar - Ismail Sabri

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

KEMALANGAN yang meragut nyawa tiga anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) adalah kehilangan besar kepada TLDM dan seluruh pasukan tentera.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau sudah memaklumkan kepada Kementerian Pertahanan dan TLDM untuk meneliti semua bantuan yang boleh disalurkan bagi meringankan beban keluarga mangsa.

"Saya mengucapkan takziah kepada keluarga tiga anggota TLDM dari KD Sri Sandakan, Sabah yang terkorban dalam kemalangan yang berlaku di Jalan Ranau-Kota Kinabalu, tengah hari tadi.

"Saya juga berdoa agar seorang lagi anggota tentera yang cedera dalam kemalangan itu dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Ranau segera sembuh," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, tiga anggota TLDM dari Markas Wilayah Laut 2 (Mawilla 2) Sandakan maut manakala seorang lagi parah selepas lori tentera dinaiki mereka terbabas di Jalan Ranau - Tamparuli, 12.50 tengah hari tadi.

Mereka yang maut Laskar Kanan Maslim Abdul Rahim, Laskar Kelas I Mohamad Firdaus Mat Izan dan Laskar Kelas 1 Muhammad Arif Idris.

Mangsa yang parah dan kini menerima rawatan lanjut di Hospital Ranau iaitu Laskar Kelas II Vincent M Orel.

Difahamkan semua mereka dari Markas Wilayah Laut 2 Sandakan dalam perjalanan menghantar peluru ke Kota Kinabalu.

Berita berkaitan

3 anggota TLDM maut kemalangan

Disiarkan pada: June 23, 2020 @ 9:06pm
d