mutakhir

Terengganu benar jemaah solat Jumaat ditambah

Oleh Baharom Bakar

JAWATANKUASA masjid di Terengganu dibenarkan menambah bilangan jemaah untuk menunaikan solat Jumaat sehingga 45 peratus, berbanding hanya 20 peratus berkuat kuasa Jumaat ini.

Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mat Azmi Arshad menjelaskan, penambahan jumlah jemaah itu diluluskan pada mesyuarat penyelarasan yang diadakan Ahad lalu.

Bagaimanapun, katanya, penambahan jumlah jemaah itu bergantung kepada keluasan dan kapasiti masjid.

"Walaupun kelonggaran penambahan jumlah jemaah itu dibenarkan, tetapi pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP), terutama penjarakan sosial satu meter antara jemaah perlu diutamakan.

"Jawatankuasa masjid perlu melakukan susun atur bagi membolehkan lebih ramai jemaah dapat menunaikan solat Jumaat, tetapi penjarakan sosial perlu dikekalkan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mat Azmi turut menjelaskan, bagi menampung penambahan jumlah jemaah, ruang di sebelah kiri atau kanan serta bahagian belakang dewan solat turut dibenarkan.

Jelasnya, kaedah penetapan jemaah terawal dibolehkan untuk menunaikan solat Jumaat seperti dilaksanakan sebelum ini perlu dikekalkan.

"SOP seperti ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), terutama pemeriksaan suhu badan, membawa sejadah sendiri, pemakaian pelitup muka, tidak bersalaman dan berhimpun selepas selesai solat Jumaat tetap tidak dibenarkan," katanya.

Ketika mengulas mengenai penduduk bertaraf pemastautin tetap tidak dibenarkan solat Jumaat, Mat Azmi mengakui berlaku kekeliruan dalam kalangan jawatankuasa masjid.

Jelasnya, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) dan JHEAT tidak pernah mengeluarkan larangan menghalang penduduk bertaraf pemastautin tetap untuk menunaikan solat Jumaat.

Sebaliknya, katanya, hanya warga asing belum dibolehkan menunaikan solat Jumaat di semua masjid di negeri ini.

Disiarkan pada: June 24, 2020 @ 9:18am
d