mutakhir

Lelaki disyaki buang mayat bayi dalam saluran kumbahan direman

Oleh Amir Mamat

LELAKI yang disyaki membuang bayi dalam lubang kumbahan najis di sebuah rumah di Kampung Kandang, Melaka, sebelum cebisan mayat ditemui petang semalam, direman empat hari bagi membantu siasatan.

Perintah reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Melaka, Mohd Anuar Ostadi bermula hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris berkata, pekerja kilang berusia 25 tahun itu direman sehingga Isnin ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat.

Beliau berkata, pasangannya yang juga pekerja kilang berusia 23 tahun bagaimanapun, dibebaskan dengan jaminan polis, namun berada di bawah pengawasan berikutan masih menerima rawatan di Hospital Melaka.

Dalam kejadian petang semalam, cebisan tubuh bayi lelaki dipercayai dilahirkan awal bulan ini ditemukan dalam lubang kumbahan najis di sebuah rumah di Kampung Kandang.

Bayi itu dipercayai sudah meninggal dunia ketika dilahirkan di sebuah rumah di Taman Perkota Bukit Baru, sebelum mayatnya dibuang ke dalam lubang najis terletak di belakang rumah terbabit.

Hasil soal siasat ke atas kedua suspek, membongkar lokasi bayi itu dibuang.

Polis dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) hanya menemui cebisan tubuh bayi berkenaan dan pihak terbabit masih mengesan beberapa lagi bahagian tubuh bayi berkenaan.

Berita berkaitan

Cebisan tubuh bayi dalam lubang najis

Disiarkan pada: June 24, 2020 @ 12:59pm
d