mutakhir

Cadang hukuman sebat nelayan asing ceroboh perairan negara

Oleh Samadi Ahmad

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mencadangkan supaya hukuman sebat dikenakan terhadap nelayan asing yang melakukan pencerobohan perairan negara.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, hukuman denda sedia ada yang dikenakan kepada pesalah dilihat tidak lagi efektif dan aktiviti pencerobohan terus berleluasa.

Beliau berkata, hukum sebatan dilihat dapat menakutkan mereka agar tidak mengulangi kesalahan sama di masa depan.

Menurutnya, sejak 2006, APMM berjaya menahan 856 bot nelayan asing (BNA) manakala bermula April hingga Disember 2019, sebanyak 127 BNA ditahan melalui Ops Naga.

"Ketika ini hukuman denda dikenakan bagi setiap awak-awak sebanyak RM500,000, tekong RM6 juta dan hukuman penjara antara enam bulan hingga satu tahun.

"Bagaimanapun aktiviti pencerobohan nelayan asing dari Vietnam dilihat semakin meningkat dan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 19 Mac sehingga 22 Jun, sebanyak 88 kes pencerobohan berlaku di pantai timur Semenanjung," katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah APMM, Laksamana Pertama Maritim Mohamad Izhar Hassan dan Pengarah Bahagian Operasi Udara APMM, Laksamana Madya Maritim Ibrahim Mohamed.

Mohd Zubil berkata, ketika pengusiran bot nelayan asing, APMM turut memusnahkan kelengkapan menangkap ikan mereka khususnya pukat tunda ganding yang banyak memusnahkan sumber hasil laut.

Katanya, berkuat kuasa hari ini, APMM akan mengadakan penahanan dan tiada lagi pengusiran atau amaran tembakan terhadap bot nelayan asing yang menceroboh perairan negara.

"Nelayan asing yang ditahan akan diasingkan berhampiran Pulau Bidong, Terengganu bagi membuat ujian saringan Covid-19 dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum dikenakan tindakan undang-undang.

"Hukuman sebatan ini sudah dibincangkan bersama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) untuk dibentangkan di Kabinet kerana sebelum ini didapati tiada pesalah yang membayar denda, sebaliknya memilih hukuman penjara kerana tidak mempunyai sumber kewangan.

"Hasil pemantauan unit udara, APMM mendapati beberapa kapal menjadi dalang kepada aktiviti BNA berada di luar sempadan yang bertindak membekalkan sumber makanan, bahan api dan pusat pengumpulan hasil tangkapan," katanya.

Dalam perkembangan lain beliau memaklumkan, APMM akan menerima tiga lagi kapal pesisir pantai berharga RM1.05 juta berfungsi sebagai kapal induk.

Beliau berkata, kapal itu dibekalkan dengan bot pemintas untuk memantau kawasan perairan dalam usaha membanteras pencerobohan nelayan asing.

"Bot ini akan kekal di laut bagi membuat pemantauan bagi mengekang bot nelayan asing dari terus bolos memasuki perairan negara.

Disiarkan pada: June 24, 2020 @ 1:17pm
d