mutakhir

Wanita didakwa perdagang warga Sri Lanka

Oleh Amir Mamat

PENGURUS wanita di sebuah rumah kebajikan orang kelainan upaya (OKU) didakwa di Mahkamah Sesyen Air Keroh, Melaka hari ini atas dua tuduhan memperdagangkan lima warga Sri Lanka bagi tujuan eksploitasi kerja antara April dan Mei lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, K Suryaakala, 48, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan pertama, wanita berkenaan bersama suaminya yang masih bebas didakwa memperdagangkan wanita warga Sri Lanka berusia lingkungan 20-an di Taman Widuri, Bachang pada 12.40 tengah hari, 3 Mei lalu.

Bagi pertuduhan kedua pula, ibu kepada tiga anak itu bersama suaminya didakwa memperdagangkan seorang lelaki dan tiga wanita warga Sri Lanka berusia antara 23 hingga 54 tahun di Jalan Tun Fatimah berdekatan bulatan Malim Jaya pada 10.30 pagi, 26 April lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Pemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi tempoh 15 tahun dan boleh didenda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Anis Wahidah Mohamad mencadangkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM40,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan perlu menyerahkan pasport kepada kepada mahkamah.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam, Datuk K Shashi meminta jaminan dikurangkan kepada RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan alasan suami anak guamnya berada di Sri Lanka dan wanita itu perlu menanggung semua anak mereka selain tertuduh tidak mempunyai rekod lampau.

Elesabet kemudiannya membenarkan Suryaakala diikat jamin RM15,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan pasportnya perlu diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat tambahan.

Mahkamah turut menetapkan 24 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Disiarkan pada: June 24, 2020 @ 1:24pm
d