mutakhir

'Harap sekolah dan pelajar patuhi SOP secara konsisten' - Dr Noor Azmi [METROTV]

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

PEMERIKSAAN mengejut akan dilakukan di 2,000 sekolah di seluruh negara bagi memastikan pelajar serta sekolah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, beberapa pegawai daripada kementeriannya, Kementerian Pendidikan (KPM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membuat pemantauan dan pemeriksaan itu.

"Selain itu, kita juga akan buat pemeriksaan mengejut bagi memastikan tiada perhimpunan diadakan dan menjaga jarak sosial sekurang-kurangnya satu meter.

"Jadi kita berharap pihak sekolah dan pelajar dapat melaksanakan SOP ini secara konsisten bagi mengelakkan penularan Covid-19.

"Sekiranya ada kes Covid-19 di sekolah terbabit kita akan menutupnya buat sementara waktu dan jika ada peningkatan kes secara mendadak kita akan laksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 11(1), Putrajaya, hari ini.

Turut hadir Pengetua, Datin Siti Norbaya Mansor dan Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd Fadzil Ali.

Dalam tinjauan berkenaan, Dr Noor Azmi turut mengucapkan tahniah kepada SMK P11(1) kerana melaksanakan SOP secara kemas dan rapi.

"Dalam tinjauan ini saya berpuas hati dengan SOP yang dilaksanakan, difahamkan kesemua yang dilakukan ini dalam tempoh dua minggu sahaja oleh pihak sekolah.

"Lebih mengujakan, pelajar tidak turun ke kantin ketika waktu rehat, tetapi makanan dihantar pengusaha kantin ke kelas berdasarkan pra-pesanan (pre order) sehari sebelum itu.

"Tiada perhimpunan atau barisan kerana semuanya dibawa ke kelas mengikut pesanan pelajar, dan mereka makan di dalam kelas serta dipantau guru," katanya.

Beliau berkata, selain itu, pihak sekolah juga mengambil inisiatif membuat lorong tertentu untuk pelajar ke kelas atau makmal.

Katanya, pelajar tidak akan bertembung ketika waktu puncak seperti datang atau pulang dari sekolah.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: June 24, 2020 @ 1:43pm
    d