mutakhir

Kilang mi tikus

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

JIJIK dan meloyakan. Itu keadaan sebuah kilang memproses mi di Segambut Selatan, Kuala Lumpur, yang dipenuhi tikus dan tahi haiwan perosak itu selain beroperasi dalam persekitaran busuk.

Malah, keadaan tandas di kilang itu yang dikotori najis pekerja menambahkan lagi rasa mual pada petugas Dewan bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang melakukan pemeriksaan mengejut hari ini.

Pengarah Jabatan Perancangan Korporat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Khairul Azmir Ahmad berkata, pihaknya melalui Unit Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar melakukan pemeriksaan mengejut di premis itu sekitar jam 11 pagi.

Menurutnya, seramai lima anggota DBKL terbabit dalam pemeriksaan sanitasi itu susulan pemantauan dan maklumat diperoleh.

Beliau berkata, ketika pemeriksaan dilakukan, terdapat tikus berkeliaran di sekitar lokasi pemprosesan makanan mi di dalam kilang berkenaan.

"Turut ditemui najis tikus. Pemilik kilang juga didapati tidak melantik syarikat kawalan serangga perosak secara berjadual.

"Agak mengejutkan apabila kami mendapati lantai dan dinding tempat penyediaan makanan dalam keadaan kotor serta berdaki hitam," katanya.

Beliau berkata, keadaan tandas di dalam kilang mi itu turut berbau busuk dan kotor seolah-olah tidak pernah dicuci.

"Petugas DBKL mendapati pemilik kilang menggaji tiga pekerja asing yang tidak diberikan suntikan vaksin anti-tifoid.

"Ketidakpatuhan kepada arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dibimbangi boleh menyebabkan penyakit bawaan makanan kepada pengguna.

"Agak jelik apabila pekerja kilang mi itu tidak memakai penutup kepala dan apron semasa mengendalikan makanan diproses," katanya.

Khairul Azmir berkata, hampir semua peralatan, kelengkapan serta mesin pemprosesan makanan diperiksa dalam keadaan kotor dan usang.

"DBKL menganggap struktur premis itu tidak sesuai dijadikan kilang pemprosesan makanan. Susulan itu tindakan Perintah Penutupan Premis mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983 dilaksanakan.

"Sebarang aduan berkaitan kebersihan boleh diajukan terus ke Pusat Panggilan Setempat DBKL di talian 1 800 88 3255 atau terus ke Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL," katanya.

Semalam, DBKL turut mengambil tindakan sama apabila sebuah kediaman di Jalan 17A, Kampung Cheras Baru, Kuala Lumpur, diberi notis penutupan selepas menyalahgunakan rumah sebagai tempat menyimpan dan memproses ayam segar.

Kira-kira 60 ayam hidup turut disita dalam operasi yang dijalankan oleh Unit Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar dan Jabatan Penguatkuasaan DBKL itu.

Antara kesalahan dikesan adalah tidak memiliki lesen perniagaan daripada DBKL, beroperasi tanpa mengikut prosedur operasi standard (SOP) pusat penyembelihan ayam oleh Pihak Berkuasa Tempatan dan mengalirkan darah terus ke longkang awam.

Selain itu, lokasi untuk aktiviti itu juga tidak sesuai kerana berada di zon kediaman.

Disiarkan pada: June 24, 2020 @ 3:27pm
d