mutakhir

Pesawah lega aduan serangan BPB dapat perhatian

Oleh Yusmizal Dolah Aling

LEBIH 200 pesawah di Bandar Baharu, Kedah boleh menarik nafas lega selepas aduan mengenai serangan penyakit Hawar Bulir Bakteria (BPB) mendapat perhatian pihak berkuasa.

Ia menamatkan kebuntuan mereka yang pertama kali berdepan situasi itu hingga menjejaskan tanaman padi seluas 700 hektar dan menyebabkan pesawah hilang punca pendapatan.

Pesawah, Ramli Abdun, 59, berkata, sawah padi yang diusahakannya di Parit Teropong diserang BPB sejak Mac lalu dan menjejaskan hasil tanaman berkenaan.

Katanya, perkara sama turut dihadapi pesawah lain di daerah itu berkenaan.

"Kali ini kami tidak tahu apa yang perlu dibuat kerana tiada pengalaman (serangan BPB). Laporan sudah dibuat kepada pejabat pertanian daerah sebelum ini, tetapi tiada tindakan.

"Semakin lama keadaan menjadi semakin buruk dan saya menghubungi Ahli Dewan Undangan Negeri Bandar Baharu Datuk Norsabrina Mohd Noor untuk bantuan segera," katanya kepada Harian Metro.

Ramli berkata, serangan BPB ini merosakkan hampir keseluruhan tanaman padi di Bandar Baharu dan memberikan kesan kepada pesawah yang mencari kaedah terbaik untuk menyelesaikan isu itu.

Menurutnya, ada pesawah yang rugi teruk kerana semua satu lot sawah bermasalah dan tidak mengeluarkan hasil seperti sepatutnya.

"Kami harap untuk musim akan datang, masalah ini tidak berlaku lagi. Buat masa ini untuk penanaman bulan Ogos agak terganggu kerana kebanyakan kami (pesawah) tiada modal yang sepatutnya diperoleh daripada penanaman kali ini," katanya.

Sementara itu, Norsabrina berkata, pihaknya sudah pun merujuk kepada Jabatan Pertanian Negeri untuk mencari kaedah terbaik menyelesaikan masalah itu.

"Selepas mendengar keluhan serta perkongsian pesawah, saya rujuk kes ini kepada bahagian biosekuriti jabatan dan mereka segera datang melawat sawah yang terjejas.

"Selepas 90 hari, sepatutnya pesawah sudah mendapat hasil tetapi hanya pada kadar 20 hingga 30 peratus. BPB ini memang diketahui ada di Kedah, tetapi di Bandar Baharu ini adalah kali pertama.

"Jadi, sampel sudah diambil untuk dianalisa apakah masalah berpunca daripada benih atau pun tanah.

"Selepas punca diketahui, kita akan jalankan kaedah rawatan dengan nasihat daripada jabatan pertanian untuk memastikan tanaman yang diusahakan memberi manfaat," katanya.

Disiarkan pada: June 24, 2020 @ 4:26pm
d