mutakhir

'Mula-mula kuat, lepas tu merana'

Oleh Syaherah Mustafa

"BADAN saya jadi kuat dan rajin bekerja sebaik menelan pil kuda, namun kesannya selepas itu boleh buat saya merana dan rasa tidak terkawal," luah remaja berusia 19 tahun yang juga penagih dadah.

Dia yang dikenali sebagai Man, mengakui mula mengambil pil kuda ketika di Tingkatan Empat di Pasir Mas, akibat terpengaruh dengan desakan rakan seusia yang turut mengambil barang terlarang itu.

Katanya, bermula dengan hanya untuk suka-suka, kini dia ketagih dan mengambil pil terbabit dua kali seminggu dengan alasan untuk memudahkan dia melakukan pekerjaan.

"Saya mendapatkan bekalan pil kuda terbabit daripada rakan sekampung yang menjualnya dengan harga RM10 sebiji. Untuk mendapatkan wang bagi membeli bekalan ini, saya bekerja sebagai mekanik di bengkel ayah.

"Selain itu, saya pernah tidak tidur sehingga empat hari kesan daripada mengambil dadah ini, namun selepas dosnya hilang badan berasa sangat penat selain mengalami sakit kepala teruk.

"Sebenarnya, ibu bapa saya sudah tahu apa yang saya lakukan selama ini, malah mereka beberapa kali membuat laporan supaya saya ditangkap untuk dipulihkan, namun saya masih melakukan kesalahan sama," katanya.

Dia ditemui selepas ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kelantan dalam Operasi Total Enforcement II (Ops TE II) yang dijalankan bermula 22 Jun sehingga hari ini.

Seramai 129 individu ditahan dalam operasi terbabit termasuk 113 daripadanya positif dadah melalui ujian saringan air kencing dilakukan pihak AADK.

Man yang sudah tiga kali ditahan akibat kesalahan sama mengakui, sudah beberapa kali cuba untuk tidak lagi terbabit dengan dadah, namun tidak berdaya dan masih mengulangi perkara sama.

"Saya sedar, saya bukanlah dalam kategori penagih tegar dan masih boleh dirawat. Malah, saya berharap agar keluarga tidak putus asa untuk membantu keluar daripada dunia tidak bermanfaat ini.

"Tambahan pula, saya mahu berjaya walaupun sudah membuat kesilapan yang merosakkan diri sendiri. Di usia muda ini, saya mahu bangkit menjadi orang berguna sebagai nasihat ibu dan bapa selama ini.

"Nasihat saya pada anak muda lain, janganlah sesekali 'sentuh' dadah kerana ia boleh merosakkan masa depan anda. Selain itu, jangan sesekali ada rasa ingin mencuba kerana bermula dengan perasaan itulah ia boleh merosakkan seluruh hidup kita," katanya yang mengakui turut mencuba air ketum.

Disiarkan pada: June 24, 2020 @ 4:39pm
d